|
Dua bintang terkenal, Yusry KRU dan Maya Karin mengaku
berkawan baik.
|
Duda popular yang juga pengarah dan pelakon,
Yusry Abdul Halim, 37, menafikan wujudnya hubungan istimewa antara dirinya
dengan pelakon jelita, Maya Karin Roelcke, 31, yang digembar-gemburkan baru-baru
ini.
Hubungan mereka heboh diperkatakan
selepas dilihat secara terang-terangan keluar menonton wayang bersama di
Alamanda, Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Yusry, hubungannya dengan
pelakon Natrah itu hanya sekadar rakan biasa, malah ketika mempelawa Maya
keluar menonton wayang bersama tidak terfikir langsung ia akan menimbulkan
kontroversi.
"Sebagai rakan, saya rasa tidak ada
salahnya keluar bersama. Seperti yang Maya katakan, saya adalah antara kawan
rapatnya dan kami hanya keluar bersama akhir-akhir ini setelah masing-masing
solo.
"Saya tak tahu beza antara kawan rapat
ataupun kawan biasa kerana bagi saya semuanya kawan. Dan saya percaya dia (Maya)
bukan hanya keluar dengan saya, begitu juga saya yang ada ketika keluar dengan
kawan-kawan perempuan lain.
"Mungkin kerana kami public
figure dan apabila peminat melihat kami keluar berduaan mereka menganggap
kami ada hubungan istimewa," kata Yusry yang pada awalnya enggan mengulas kerana
bimbang dikatakan memberi jawapan klise.
Perkenalan antara Yusry yang juga
merupakan salah seorang anggota kumpulan KRU itu dengan Maya bermula sejak tahun
2001 lagi, setelah sama-sama terlibat dalam filem Mr. Cinderella
2.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia
hari ini, Yusry turut menafikan mereka sedang hangat bercinta walaupun ada yang
mendakwa pernah melihat mereka berpimpin tangan.
Tambah Yusry, andai benar dia mempunyai
hubungan istimewa dengan Maya dia sendiri tanpa ragu akan berterus terang dan
tidak perlu berselindung.
Bagi pengarah filem epik, Hikayat
Merong Mahawangsa itu, dia ikhlas berkawan dengan Maya dan tidak perlu
berselindung depan peminat ketika keluar bersama.
Ketika diaju persoalan tentang
pengakhiran zaman solo, jelas Yusry, dia tidak mengelak andai sudah tiba jodoh
dan bertemu wanita yang sesuai.
"Saya tidak pandang rupa atau memilih
pasangan sama ada orang biasa mahupun artis kerana saya tidak pernah memandang
rendah pada kerjaya artis.
"Bagaimanapun buat masa ini saya belum
terfikir untuk berkahwin. Tetapi jika sudah bertemu wanita idaman saya, saya
akan bawa dia bertemu dengan mummy," kata Yusry lagi.
Pengakuan Yusry ini pernah diakui oleh
ibunya, Zarina A.W Fenner mengenai sikap dan tanggungjawab anak-anaknya dalam
sesuatu hubungan, ketika ditemui baru-baru ini.
"Semua anak aunty akan bawa pasangan
mereka, jika mereka benar-benar serius dalam hubungan dan akan
berkahwin.
"Sejauh ini Yusry belum bawa pulang
bakal isterinya. Aunty dan Uncle terima siapa sahaja pilihan anak-anak yang
penting mereka bahagia," kata Zarina.
Sementara itu, bercerita tentang filem
arahannya, Hikayat Merong Mahawangsa yang dijangka bakal menjengah
pawagam tempatan pada pertengahan Mac tahun depan bagi Yusry, dia tidak mahu
meletakkan apa-apa harapan yang tinggi selain penerimaan baik daripada
penonton.
Baginya, filem yang mencecah kos
pembikinan RM8 juta itu sebagai pembuka jalan kepada filem-filem tempatan
selepas ini untuk dipasarkan ke luar negara.
p/s : sesekali citer pasal artis lak....hehehe