Sebenar dua tiga ari ni kerisauan agak melanda @ jiwa kacau sebab hujan yang melanda utara tanah air. Walaupun aku bukan lah dok kat situ tapi aku kan nak pegi konvo aku yang will take place end of this month so a bit worried jugaklah kan..kan..buatnya air tak surut dan jalan masih belum dibukak camner tu...hatiku bertambah risau bila baca paper utusan pagi tadi...dah bertambah-tambah risau tu sebab mungkin aku tak dapat ke Danok....huhu
Banjir di utara bertambah buruk
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Banjir yang melanda Perlis dan Kedah sejak
semalam bertambah buruk hari ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan
ke pusat pemindahan banjir semakin meningkat.
Beberapa laluan masih ditutup dengan paras air sungai di kedua-dua negeri terbabit melepasi paras bahaya.
Begitu juga di KELANTAN, hujan selama dua hari berturut-turut
khususnya di daerah Kota Bharu, Rantau Panjang dan Tumpat menyebabkan
negeri itu mula dilanda banjir.
Di KEDAH, lebih 15,432 penduduk daripada 4,251 keluarga di
empat daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pokok Sena
dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir sehingga petang ini.
Angka itu meningkat daripada 2,000 penduduk yang dipindahkan semalam
berikutan hujan berterusan sejak kelmarin hingga tengah malam tadi.
Kubang Pasu merupakan daerah paling teruk dilanda banjir melibatkan
10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga diikuti Padang Terap (3,821
mangsa) dan Kota Setar (709 mangsa) manakala Pokok Sena (68 mangsa).
Penduduk dipindahkan ke 31 buah pusat pemindahan banjir di daerah
Kubang Pasu, 37 buah di Padang Terap, tiga buah di Kota Setar serta
lapan buah di Pokok Sena.
Beberapa jalan dan laluan utama termasuk di Lebuh Raya Utara-Selatan
(PLUS) ditutup kerana ditenggelami air termasuk di Jitra, Changlun dan
laluan lebuh raya PLUS menghala ke Bukit Kayu Hitam dan Universiti Utara
Malaysia (UUM) di Sintok.
Sembilan jalan di Padang Terap juga ditutup kerana ditenggelami air
iaitu Jalan Kuala Nerang-Padang Sanai, Jalan Kampung Tanjung-Pokka,
Jalan Tualak, Jalan Barokhas-Kuala Nerang, Jalan Semeliang, Jalan
Kampung Rambutan, Jalan Kampung Tengah-Kubu, Jalan Kuala Pai dan Jalan
Kuala Nerang-Pokok Sena.
Sementara itu, tiga penerbangan yang dijadual berlepas dari Lapangan
Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas di sini pada petang
dan malam ini, dibatalkan ekoran lapangan terbang itu terpaksa ditutup
akibat air naik sehingga ke landasan.
Ketua Unit Operasi LTSAH, Abdul Rashid Md. Yusob berkata, air naik ke
landasan itu akibat limpahan banjir dari kawasan berhampiran.
"Ketiga-tiga penerbangan itu melibatkan pesawat Malaysia Airlines
(MAS) ke Kuala Lumpur, AirAsia ke Kuala Lumpur dan FireFly ke Subang,"
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, empat penerbangan yang dijadual akan berlepas pagi esok
turut dibatalkan manakala penerbangan sebelah petang bergantung pada
keadaan.
Jadual pagi esok melibatkan dua penerbangan iaitu pesawat MAS ke
Kuala Lumpur, satu pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur dan satu pesawat
FireFly ke Subang.
Di PERLIS, bandar Kangar paras banjir terus meningkat walaupun
hujan yang bermula Sabtu lalu sudah berhenti awal pagi ini dan cuaca
semakin panas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk di daerah itu
terutama di bandar Kangar bertungkus-lumus memindahkan kenderaan dan
perkakas rumah masing-masing ke tempat selamat.
Ramai penduduk di bandar itu yang menjangkakan air semakin surut
berikutan cuaca baik menjadi kelam-kabut apabila air naik secara
mendadak terutama di kawasan-kawasan yang awalnya tidak mengalami banjir
seperti di Taman Kemajuan, Taman Firdaus, Taman Hijrah dan Taman Bukit
Kaya.
Beberapa jalan utama ke bandar itu turut ditutup seperti Jalan Bukit
Lagi, Jalan Jubli Perak, Jalan Jubli Emas dan Jalan Raja Syed Saffi.
Difahamkan banjir di daerah Padang Besar dan Arau semakin surut, namun
air banjir dari daerah itu kini 'beralih' ke bandar Kangar.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali
berkata, sehingga pukul 5 petang ini seramai 4,536 penduduk seluruh
negeri telah dipindahkan ke 35 pusat pemindahan.
Menurut beliau, pusat pemindahan banjir terbaru dibuka di Sekolah
Menengah Kebangsaan Datuk Ali Ahmad yang menempatkan 100 keluarga dan
Surau Tebing Tinggi menempatkan 450 keluarga.
Di KELANTAN, hujan lebat sejak Sabtu lalu menyebabkan air
Sungai Golok mula melimpah dan menenggelamkan beberapa kawasan rendah
sejak malam tadi menyebabkan seramai 297 penduduk yang tinggal di
sekitar Rantau Panjang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata, seramai 289 orang
daripada 90 keluarga di Kampung Kedai Lama dan Kampung Kubang Kuadi
tempatkan di stesen kereta api lama manakala bakinya seramai lapan orang
daripada dua keluarga dipindahkan ke Madrasah Kubang Kua.
''Paras air Sungai Golok pada pukul 4 petang ini adalah 10.82 meter
melebihi paras bahaya iaitu 9 meter dan beberapa jalan seperti Jalan
Lubok Stol, Jalan Lalang Pepuyu dan Jeram Perdah terpaksa ditutup untuk
kenderaan ringan,'' katanya.
Di TERENGGANU pula, seramai sembilan mangsa daripada lima
keluarga yang terdedah ancaman ombak besar yang boleh menyebabkan
'banjir air laut' di kawasan Kampung Pantai, Kuala Besut ditempatkan di
pusat pemindahan bermula petang semalam.
Kesemua mereka merupakan mangsa pertama yang dipindahkan sejak musim
tengkujuh mula melanda negeri itu beberapa hari lalu sehingga
menyebabkan ombak kuat serta tinggi di beberapa buah pantai.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negeri (MKN), kesemua mereka ditempatkan di Balai Raya Kampung Pantai.
0 meluahkan rasa:
Catat Ulasan