IKLAN

9 Oktober 2010

Taska: Pilihan atau keperluan

Taska: Pilihan atau keperluan




“KALAU diikutkan, hari-hari mereka nak ke taska. Bangun pagi saja terus mendesak supaya menghantar mereka ke taska. Mereka tak sabar nak bermain bersama kawan-kawan dan berjumpa cikgu.
“Di taska mereka bukan sahaja bermain, malah jadual harian juga padat dengan bermacam-macam aktiviti yang menyeronokkan dan berfaedah,” cerita Nursalina Abd. Aziz, 30, bersungguh-sungguh.
Bicara pereka grafik di salah sebuah syarikat swasta itu, sebelum ke pejabat dia akan menyediakan kelengkapan anak-anaknya untuk dibawa ke taska. Sebuah beg bersaiz besar diisi dengan beberapa pasang pakaian dan lampin pakai buang untuk kegunaan anaknya, Che Wan Muhaimin Rabie, 4 tahun; Muzzammil, 2 tahun dan Madiha, setahun.
“Secara purata untuk seorang anak saya bekalkan tiga atau empat pasang baju dan lampin pakai buang sehari kerana pengasuh akan menyalinkan pakaian anak-anak pada sebelah pagi, tengah hari dan petang,” ujar Salina.
Taman Asuhan Kanak-kanak atau singkatannya Taska merupakan sebuah premis yang menjaga empat atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun. Kanak-kanak yang mendaftar dikenakan yuran mengikut usia dan servis yang ditawarkan oleh sesebuah taska.

PIHAK taska diwajibkan menggunakan tilam berbanding buaian demi keselamatan kanak-kanak.


“Saya tak kisah soal harga walau setiap bulan terpaksa membayar yuran sebanyak RM600. Bagi saya yuran yang dikenakan berbaloi dengan servis dan keperluan yang disediakan oleh pihak taska.
“Lagipun kebajikan anak-anak terpelihara. Pengasuh taska turut menitikberatkan soal pembelajaran seperti mengira, mengeja dan menyanyi serta fardu ain,” tutur Salina ketika ditemui Kosmo! yang mengakui anak-anaknya semakin berdisiplin, berdikari dan gemar mewarna.
Keadaan itu berbeza sewaktu anak-anak Salina dihantar ke rumah jiran dan dijaga oleh pembantu rumah Indonesia. Keluh anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu: “Pembantu rumah saya sebelum ini banyak mendatangkan masalah. Sudahlah malas melakukan kerja rumah, malah kebersihan anak-anak juga terabai.
“Paling membimbangkan, saya pernah berhadapan dengan pembantu rumah yang mencuri. Jadi saya fikir, kalau mereka boleh mencuri tak mustahil mereka akan melarikan anak-anak saya kelak,” kata Salina meluahkan kebimbangan.
Sementara itu, Roshenahnor Roheni, 28 tahun, lebih mempercayai ibunya untuk menjaga Nur Syafiqah Batrisyia Mohamad Saiful Bahari yang berusia dua tahun daripada menghantar ke taska. Ia berpunca daripada paparan media tentang kes kemalangan dan kematian kanak-kanak disebabkan kecuaian para pengasuh di taska.

IBU BAPA disaran supaya membuat pemeriksaan di bahagian dalam dan luaran taska sebelum menghantar anak-anak mereka.


Enggan membiarkan nasib yang sama menimpa anaknya, Roshenahnor berasa lebih selamat jika ibunya yang mengawasi anaknya sepanjang dia keluar bekerja.
“Benar, ada yang menyifatkan di taska kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai perkara yang mengembangkan minda mereka. Sebab itulah, pada hujung minggu dan setiap petang saya akan membaca buku, mewarna dan beriadah bersama Nur Syafiqah,” kata Roshenahnor yang turut melatih anaknya supaya boleh bertutur dengan jelas.
Bagi pengetua pusat penjagaan Kinderland, Subang Jaya, Selangor, Eleanor Loh, 51, salah satu pendidikan utama yang diterapkan di taska ialah cara berkomunikasi dengan betul.
Para pengasuh dihalang bercakap pelat kerana ia membantut kelancaran pertuturan kanak-kanak.
“Inilah keistimewaan taska kerana kanak-kanak disalurkan ilmu positif. Kami bukan sekadar membentuk emosi dan sosial malah membantu meningkatkan aspek bahasa, kemahiran pergerakan dan fizikal kanak-kanak.
“Begitu juga dengan penyediaan makanan. Setiap hari pihak taska menyajikan menu seimbang yang mengandungi karbohidrat, vitamin dan protein. Inisiatif ini penting untuk perkembangan otak dan kecergasan fizikal kanak-kanak,” tambah Eleanor yang memiliki Diploma Penjagaan Kanak-kanak dari salah sebuah universiti di London.
Bagaimanakah dengan kebajikan dan pendidikan kanak-kanak di taska?
Kata Eleanor: “Segelintir ibu bapa memikirkan lebih baik wang tersebut digunakan untuk membayar gaji pembantu rumah daripada memperuntukkan kepada taska.
Rumah jiran
“Ada juga ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke rumah jiran kerana tidak mampu membayar yuran bulanan taska yang tinggi.

KANAK-KANAK di Taska dididik supaya lebih berdikari dan berdisiplin.


Bercakap tentang ketidakmampuan ibu bapa menanggung kos yuran bulanan yang mencecah RM500 untuk seorang anak, Pengusaha Taska Komuniti Penyayang di Bandar Sri Damansara, Farah Diyana Nazaruddin, 28, menyarankan taska komuniti boleh dijadikan pilihan.
Taska Komuniti merupakan pendekatan yang memberi tumpuan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 sebulan sama ada yang menetap di bandar dan di luar bandar.
“Mereka yang menepati syarat layak menerima subsidi kerajaan sebanyak RM180 sebulan. Ibu bapa hanya perlu menambah RM100 sekiranya dikenakan yuran taska sebanyak RM280.
“Jadi tiada alasan ibu bapa mengeluh kerana tidak mampu membayar yuran taska yang terlalu tinggi,” ujar Farah yang menyatakan kes penderaan dan kecuaian di taska komuniti amat rendah kerana taska itu berdaftar dan dibawah kendalian Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan JKMM.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 meluahkan rasa:

IKLAN