
(DARI KIRI) Penerbit Eksekutif  Projek Khas, Sooraj Nair, Penerbit Program, Sharon Koo, Pengurus Saluran  Astro Warna, Nizam Sani, Penerbit Eksekutif, Mackenna Sigh dan Haslina  Hashim menunjukkan cara permainan Anda Ada 60 Saat.
JIKA anda memiliki skil dan kemahiran yang tinggi, anda berpeluang  untuk memenangi hadiah wang tunai yang cukup lumayan. Wang sehingga  RM500,000 boleh dimenangi sekiranya anda menyertai rancangan permainan  terbaru berjudul Anda Ada 60 Saat, di Astro Warna (saluran 132). 
Pengurus Astro Warna, Nizam Sani berkata rancangan terbaru terbitan  Astro itu merupakan sebuah program yang diadaptasi daripada rancangan  Minute To Win It yang disiarkan di saluran TV di Amerika Syarikat dan  mendapat sambutan hebat ketika ini.
“Anda Ada 60 Saat adalah sebuah program kuiz permainan yang  mengenengahkan konsep permainan santai tetapi menarik dan memberi  peluang kepada para peserta untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga  RM500,000 jika berjaya melepasi 10 permainan dalam tempoh 60 saat bagi  setiap permainan.
“Permainan-permainan yang diberikan pula adalah cukup mudah kerana  cabaran yang bakal dilalui hanya dengan menggunakan perkakas yang  digunakan seharian di rumah. Semua bentuk permainan pula adalah sama  seperti yang ditampilkan menerusi rancangan Minute To Win It,” ujar  Nizam pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini.
Menurut Nizam, dengan menyertai program tersebut, para peserta tidak  perlu memerah otak untuk menjawab sebarang soalan, sebaliknya hanya  perlu menunjukkan skil dan kemahiran dan peserta diberi tiga peluang  untuk mencuba. 
“Cabaran yang paling utama buat peserta adalah untuk menyelesaikan setiap permainan hanya dalam masa 60 saat,” ujarnya.
Antara cabaran-cabaran yang akan diberikan kepada para peserta setiap  minggu seperti Kepala Rock, Kepala Baldi, Tin Beracun, Bersemuka Dengan  Biskut, Lawan Graviti serta banyak lagi.
“Cabaran Bersemuka Dengan Biskut sebagai contohnya merupakan acara  yang mana peserta perlu menggerakkan dua keping biskut dari dahi ke  mulut dengan menggunakan otot muka sahaja. Jika gagal dilaksanakan dalam  tempoh 60 saat, peserta akan disingkirkan selepas tiga kali percubaan,”  jelasnya.
Nizam juga memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu risau kerana  untuk melihat cara permainan, mereka boleh menontonnya melalui video  yang akan dipaparkan di laman web rasmi rancangan berkenaan di  www.astro.com.my/andaada60saat. Ujarnya, melalui video tersebut, mereka  boleh berlatih lebih awal sebelum datang untuk menyertai rancangan  tersebut.
Sementara itu, bagi sesiapa yang ingin menyertai rancangan ini perlu  menghadiri sesi uji bakat yang akan diadakan di Dewan Sri Putra, Stadium  Bukit Jalil pada 16 dan 17 Oktober ini. Ia terbuka kepada seluruh  warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas serta perlu membawa  salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar terkini bersaiz 4R  ketika hadir sewaktu uji bakat.
Tambah Nizam, pada sesi uji bakat itu nanti setiap peserta akan  diberi lima pilihan permainan dan perlu melengkapkan tiga daripadanya  untuk layak menyertai rancangan berkenaan. Manakala sesi uji bakat pula  akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 6 petang. 
Rancangan sebanyak 26 episod ini bakal memulakan siaran pertamanya  pada 25 Disember depan pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 10 malam.
Nota Kaki : kompom aku tak leh masuk..nerbous daaa... 
 








 
 




0 meluahkan rasa:
Catat Ulasan